Wednesday, June 11, 2008

anda masih ingat bekas sekolah anda?

Mengapakah kita perlu mengingati sekolah di mana kita mendapat pendidikan sebelum kita menjejakkan kaki ke menara gading?
Itulah persoalan yang bermain di dalam fikiran kita sekarang. Kini ramai graduan universiti yang telah berjaya dengan kareer masing-masing telah lupa kepada sekolah masing-masing. Jika kita ingat semula kenangan semasa di sekolah menengah dan sekolah rendah, sudah pasti kita akan tersentuh hati dengan situasi atau keadaan seorang guru yang cuba mendidik murid mereka supaya paham tentang apa yang dipelajari.

Masa kini, sekolah telah menjadi satu institusi yang melahirkan bakal-bakal graduan di universiti. Bukan sekadar tempat belajar malah menjadi satu tempat membina insaniah dalam diri pelajar. Bagi pendapat saya, kita perlu berkunjung semula ke sekolah lama kita untuk mengetahui perkembangan pendidikan sekolah tersebut. Sebagai contoh, kita cuba menemui guru-guru yang pernah mendidik kita suatu ketika dahulu, bertanya khabar dan memberitahu status kehidupan kita yang terkini dan ini akan membuatkan guru kita akan gembira dengan pencapaian yang kita kecapi sebagai bekas pelajar mereka.

Apabila seorang guru melihat bekas pelajarnya yang telah berjaya, ini akan melahirkan satu semangat yang baru dalam diri mereka dan akan membuatkan mereka lebih bersemangat untuk terus mencurahkan ilmu. Ini antara cara kita untuk membalas jasa kepada sekolah lama kita.Selain itu, kita sebagai siswazah boleh memberikan sumbangan dalam bentuk motivasi kepada murid-murid sekolah tersebut. Ini adalah satu pendekatan yang boleh memberi kesan positif kepada murid-murid sekolah untuk terus berusaha hingga berjaya seperti kita.

No comments: