Friday, December 25, 2009

Salam dan selamat....

Seingat saya, gambar ini mungkin sudah pernah memasuki blog ini atau belum. Akan tetapi, saya ingin menutupi tirai 2009 dengan gambar ini. Apa yang menarik tentang cerita terakhir ini, saya ingin umumkan bahawa blog saya ini akan terus menerus melempiaskan cerita-cerita tentang kehidupan di sekeliling saya. Untuk yang terbarunya, saya akan buka blog khas Edisi Lambaian Penjuru Kiblat...blog ini akan menceritakan kepada semua pembaca blog saya dan menjawab persoalan kehilangan saya selama 44hari. Apapun, saya mengucapkan selamat tahun baru 1431H dan 2010, terima kasih kepada pembaca blog saya kerana setia menanti. Nantikan....

Thursday, December 24, 2009

Menembusi ruang maya tanpa batasan...

Hari ini menjadi satu langkah kehadapan dalam teknologi maya. Setelah di 'beku' kan selama 11 tahun, kini jalur lebar internet telah memasuki ruang kediaman saya semula. Mengikut sejarahnya, pertama kali saya dapat menggunakan internet sewaktu saya berumur 13tahun. Akan tetapi, kemudahan itu hanya digunakan setahun sahaja. Jadi,kini, internet telah kembali masuk ke dalam kediaman saya, alhamdulillah. Satu langkah kehadapan...

Monday, December 21, 2009

Salam..tinta mula melakar


Assalamualaikum dan salam tinta.


Setelah hampir beberapa lama saya menyepi, kini saya kembali dengan pelbagai kisah dan cerita untuk dikongsi bersama dengan rakan-rakan blog juga rakan-rakan dunia khususnya. Terima kasih saya ucapkan kepada semua sahabat yang menantikan cerita dan kisah yang akan memberi satu erti kehidupan realiti dalam kehidupan kepuraan. Saya juga memohon maaf kerana terlalu lama menyepi kerana terdapat beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan dan saya pasti faktor itu telah merubah segalanya dan saya juga pasti sahabat semua ingin tahu apakah faktor dan penyebab yang saya lalui sepanjang ketiadaan saya dalam dunia blog ini.

Sunday, October 18, 2009

Mendirikan masjid...solat sebentar.

Membuat penggambaran di Kuala Kangsar dan apa kaitan dengan masjid ini pastinya ada jawapan tersendiri. Menjadi tempat solat ketika musafir menjalankan tugasan kerja. Masjid Ubudiah ini adalah antara masjid yang cantik pada pandangan saya kerana sebelum ini saya hanya melihat di dalam gambar dan televisyen sahaja. Akan tetapi, dengan menggunakan gajet baru saya ini, saya mampu mengambil gambar seperti profesional,sangkaan saya.

Saturday, October 10, 2009

Merehatkan diri seketika...

Mencari ketenangan tidak kira di mana sahaja. Pada waktu ini, saya menemani ibubapa saya menghantar adik lelaki saya ke terminal bas Putra selepas raya Eidulfitri lalu. Mencari tempat untuk duduk bukanlah senang pada ketika itu kerana kesibukan dan ramai manusia-manusia yang menanti dan menunggu. Pada ketika itu saya terpandang seorang kanak-kanak yang sedang mencari arah tuju di hadapan saya. Gelagatnya diperhati oleh saya sendiri dan agak lucu. Berani dan mencabar keberanian...

Tuesday, September 15, 2009

Satu harapan...

Sekali lagi, satu tujuan dalam melayari bahtera pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Saya sentiasa menjadikan rakan-rakan seperjuangan sebagai sahabat dunia akhirat. Mungkin mereka tahu akan pahit manis bersama. Sepanjang lima semester di UPSI dan kini hampir 4 minggu lagi untuk kami melabuhkan tirai semester 5. Sentiasa dalam kenangan.

Sunday, September 06, 2009

Sunday, August 23, 2009

Salam Ramadhan Al-Mubarak


Selamat Menyambut Bulan Ramadhan


D
ikesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan, bulan keinsafan dan bulan penuh keberkatan. Saya juga ingin mengucapkan mohon maaf kepada sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan dalam blog saya dan segala cerita di dalam blog ini. Kepada pembaca blog saya, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana terus membaca blog saya walaupun tidaklah serancak awal keluaran blog ini.

Monday, August 17, 2009

B e r e h a t S e b e n t a r...

Tuesday, August 11, 2009

Sedih dengan siapa...

buku agama

Kekesalan menyelubungi diri saya kerana apa yag ingin saya nyatakan adalah agak menghairankan saya. Adakah saya silap atau saya terpandang? Tempat kebiasaan saya duduk di perpustakaan UPSI telah menjadi saksi kepada tingkahlaku ini. Pada mulanya sampai di tempat ini, saya hairan kerana terdapat buku terbiar yang tidak disimpan ke tempat asal. Pastinya semalam pembaca ini biarkan tetapi apa yang menyedihkan saya?


terbiar begitu sahaja

Angkara siapa? Mana pegangan agama yang kuat itu? Saya berharap agar orang ini diberikan petunjuk untuk bersikap bertanggungjawab selepas ini. Sedih...

Monday, August 10, 2009

Perjuangan persahabatan...

Bulan Ogos ialah bulan kita memperingati sejarah dan saya mengambil kesempatan ini untuk memperingati rakan-rakan seperjuangan saya suatu ketika dulu. Mungkin tidak ada kena-mengena dengan bulan kemerdekaan tetapi mungkin sedikit mengenai perjuangan. Saya lebih suka dengan kenangan kerana kenangan membuatkan kita berdiri sekarang dan kenangan membuatkan kita mengenali orang lain.

Gajet...

Salam sejahtera... Sudah hampir tiga minggu kotak ini berada di dalam simpanan saya dan tuan puteri saya. Mungkin agak keterlaluan untuk saya ceritakan kepada rakan-rakan tentang kotak ini tetapi hakikatnya, saya telah melangkah setapak kehadapan dengan mempunyai gajet yang agak canggih dan cantik.

Monday, July 27, 2009

Sudut...

Kecantikan bukan pada paras rupa. Sudut yang saya ambil ini mungkin kebetulan kerana apa yang ingin saya tnjolkan ialah air pancut kecil ini tetapi menjadi menarik apabila digandingkan dengan sudut mengarah kebelakang. Gambar ini cukup istimewa buat saya setelah dua tahun berada di UPSI. Segala ilmu dan teknik yang saya belajar mungkin ada dalam gambar ini dan anda pasti boleh menilai tahap saya dengan berpandukan gambar ini.

Friday, July 24, 2009

Selamat hari lahir buat seorang insan yang begitu istimewa dalam gambar ini. Beliau sememangnya istimewa dalam keluarga dan rakan-rakan. Apa yang boleh saya katakan, beliau istimewa. Bersempena hari lahirnya yang ke-22, saya doakan agar dia sentiasa ceria dan mampu memberikan senyuman. Dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur dan baik dalam kesihatan. Adapun setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya dan saya percaya apa yang berlaku pada beliau sebelum ini akandatang hikmahnya. Saya sentiasa memberikan sokongan dan sentiasa berada dibelakang beliau sehingga tamat belajar kelak. Pasti rindu akan teman-teman seperjuangan. keluarlah ungkapan 'sama-sama susah dan sama-sama senang' bila bercakap tentang perhubungan dalam persahabatan.

Monday, July 20, 2009

Ruang...

Melihat lebih tinggi. Kemana pandangan anda jika anda dalam kerisauan atau kesempitan? Saya sering menjadikan ruang sebagai pandangan saya sendiri. Lebih menarik jika waktu menghadapi masalah, saya akan mencari tempat yang lapang. Sudah hampir tiga minggu saya berada di UPSI dan dalam tidak sedar, tinggal 11 minggu untuk menamatkan semester lima.

Sunday, July 19, 2009

Kehidupan atau hidupan...


H
ampir lama saya tidak mencatatkan cerita-cerita yang menarik di dalam blog ini dan apa yang saya lihat sekarang ialah kehadiran blog-blog yang begitu banyak dan pelbagai. Tahniah buat kawan-kawan yang semakin hebat dengan blog anda. Sepeninggalan blog saya ini, pelbagai kisah yang ingin saya kongsikan akan tetapi masa dan ruang menjadi penghalang. Mungkin kerana faktor wireless yang begitu lemah di bilik saya sekarang menjadikan saya malas untuk menulis di blog ini. Insyaallah dalam masa terdekat ini, saya akan cuba kembali dengan cerita baru. Masih ingin mengekalkan identiti blog ini bukan sekadar blog peribadi tetapi blog tentang kehidupan.

Wednesday, July 08, 2009

Langkah baru...

Pembuka semester baru. Langkah baru, memberi nafas baru kepada saya yang setiap hari menggunakan tangga untuk ke tingkat lima.

Tuesday, June 30, 2009

Jauh mata memandang...

Pemandangan dan tempat adalah satu gabungan yang unik di mana jika salah satunya tidak kena atau rosak, secara tidak lansung akan menyebabkan suasana menjadi hambar dan membosankan. Apa kaitan dengan gambar di atas ialah, saya cuba merakamkan pemandangan mata saya jika saya melihat tempat-tempat sebegini. Satu pandangan jauh yang mempunyai penghujung yang lebih menarik.

Tuesday, June 16, 2009

Posisi...

Posisi bendera memainkan peranan penting dalam gambar ini. Memberi keseimbangan dalam gambar. Reka bentuk bangunan yang penuh dengan jeriji tingkap boleh menenggelamkan imej bedera itu sendiri. Apakah maksud yang tersirat dalam gambar ini? Apa kaitan dengan saya sendiri? Semoga menjadi tanda tanya kepada semua orang yang membaca blog ini.

Tuesday, June 09, 2009

Bayang-bayangan...realiti

Semakin hari bayang-bayang ingin menjadi realiti dan realiti akan terus menghasilkan bayang-bayang. Mungkin kerana ingin saya ingin menyatakan rasa hati saya saat ketika ini. Perbandingan antara realiti dan mimpi begitu jauh pandangannya. Sesekali bayang-bayang saya jadikan subjek untuk tatapan umum. Mungkin sama seperti orang lain yang pernah buat tetapi saya rasa tenang melihat bayang-bayang sendiri bersama...

Wednesday, May 27, 2009

Mencari sesuatu...

Mencari sesuatu yang baru dalam hidup bukanlah sesuatu yang mudah. Sesuatu yang masih segar kepada pandangan mata kita. Sudut pandangan dan kedudukan memainkan peranan penting. Kekosongan dalam kehidupan membuatkan kita menjadi jemu dan mulalah untuk mencari sesuatu yang luar dugaan. Gambar ini diambil di sekitar putrajaya. Waktu tengahari yang terik. Saya masih menggunakan kamera digital saya yang semakin uzur. Kena mencari kamera baru...maybe...

Monday, May 25, 2009

Perjalanan atau laluan...

Perjalanan masih jauh dan masih banyak halangan yang kita nampak dan tidak sedari. Semakin hari semakin mematangkan diri dan menjadikan diri ini semakin teguh dan kuat. Perjalanan saya dalam Jawatankuasa Mahasiswa Kolej telah berakhir sedikit hari lagi dan saya berharap agar perjalanan lepas menjadi ingatan kepada saya. Kepada rakan-rakan yang pernah mengikuti setiap cerita saya semasa saya memegang jawatan ini, terima kasih daun keladi. Selepas ini, cerita saya akan beralih kepada cerita seorang pelajar biasa. Apa kaitan dengan gambar ini? Renungkan...

Wednesday, May 06, 2009

Sedih dan SaYu.....


Ayahanda saya baru saja memberi tahu kepada adik saya dan adik saya baru sahaja memberi tahu yang kami tidak dapat menunaikan Haji pada tahun ini. Sedihnya... Entahlah... Mungkin tiada rezeki lagi untuk menunaikan Haji tahun ini. Sedih sangat-sangat.... :(

Monday, May 04, 2009

Penantian masa...


Sejenak saya memikirkan kenapa blog ini kurang meriah. Bagaimana saya ingin memeriahkan blog saya ini. Mungkin saya perlu memikirkan sesuatu yang berlainan dengan pernah saya lakukan sebelum ini.

Friday, May 01, 2009

Bayang...

Pembuka tirai Mei 2009, saya pamerkan sebuah gambar yang saya ambil ketika senja. Gambar ini hanyalah imej bayang-bayang dan menarik minat saya untuk mengambil gambar sebegini. Tidak berapa jelas tetapi saya pasti ia akan menjadi menarik bila dipandang selalu. Teknik imej bayang-bayang. Setelah lama saya tidak meletakkan cerita tentang diri dan keadaan sekitar kehidupan saya, kini saya akan kembali dengan pelbagai ceria menarik.

Thursday, April 30, 2009

Menanti...MEI 2009


Sebuah penantian yang bakal menjelma sedikit hari lagi...

Wednesday, April 22, 2009

AMARAN KERAS !!!!

Jual kad prabayar telefon lebih 50 sen, pemilik kedai gambar didenda RM500

22/04/2009 3:55pm

KUALA LUMPUR 22 April — Akibat menjual kad tambah nilai telefon bimbit melebihi 50 sen daripada harga sebenar, pemilik sebuah kedai gambar didenda RM500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu ke atas Chong Meow Fong, 53, pemilik kedai gambar Quick Foto Sdn Bhd di sini setelah mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Beliau didakwa menawarkan untuk membekalkan 11 unit kad tambah nilai Hotlink dengan harga RM10.50 seunit walhal harga yang tertera pada kad ialah RM10 seunit. - Bernama

Friday, April 17, 2009

Berehat sebentar....


Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Di sini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat hari raya...opss...silap....selamat menjalani peperiksaan dan selamat bercuti kepada seluruh mahasiswa mahasiswi seluruh malaysia dan kepada rakan-rakan yang selalu melawat laman blog saya ini. Rasa terharu dan sedih apabila ingin menyatakan bahawa blog ini akan dihentikan sementara waktu kerana memberi laluan kepada majlis pernikahan saya....opss...silap... :)

Terima kasih kepada semua yang telah melawat blog saya dan memberikan sokongan kepada saya dalam meneruskan blog ini. Saya akan terus memberikan yang terbaik kepada diri saya dan kepada semua pengunjung blog saya ini.

Blog ini akan aktif semula sejurus saya mendapat perintah daripada Sultan Kuala Lumpur kelak..... :)

Harap bersabar dan teruskan memberi komen di dalam blog saya. Saya berharap kepada semua pengunjung blog saya untuk memberikan komen di sini atau cadangan-cadangan untuk masa akan datang. Komen pada post ini yee... :)

ceria selalu... :)

Tuesday, April 14, 2009

Diri ini...

Sejarah mengukir kenangan yang abadi. Saya ingin memberikan sedikit penghargaan kepada pembaca blog saya dengan tatapan gambar eksklusif peribadi. Mungkin sesetengah orang ada menyimpan gambar semasa mereka kecil dahulu dan ada yang tidak mampu untuk mendokumentasi gambar mereka sewaktu kecil kerana kekangan keluarga. Apa yang ingin saya katakan di sini bahawa, kita perlu menghargai setiap kenangan dalam hidup kita dan semoga menjadi pembimbing kepada kita dewasa kelak. Kita harus ingat asal usul kita dan latar belakang kita sebelum kita melakukan sesuatu tindakan. Semoga apa yang ada dalam diri saya akan menjadi pedoman dan ikhtibar kepada diri sendiri dan untuk rakan-rakan. Rindu kepada keluarga dan rindu kepada dia. Saya berharap agar menjadi orang yang berguna dimasa akan datang dan terbaik dikalangan terbaik. Pengalaman mengajar erti kehidupan sebenar.

Monday, April 13, 2009

Kemana dan di mana...?

Ada dikalangan rakan-rakan saya bertanyakan tempat-tempat menarik yang ada di Hulu Yam dan jawapan saya ialah di area kebun ayahanda saya. Terletak di persimpangan menghala ke sungai Sendat. Memang cantik dan menarik akan tetapi agar sukar untuk ke puncak bukit kerana agak curam ketinggiannya. Apa pun, kepada rakan-rakan yang menunggu gambar-gambar menarik dalam blog ini, nantikan. Saya sedang mengumpul gambar-gambar menarik bagi tatapan umum. Terima kasih kerana setia menunggu.

Saturday, April 11, 2009

Hari ini dalam sejarah hidupku....


T
atkala duduk berjauhan, saya rasakan seperti ada saja di depan mata. Tatkala tidak bersua, terasa bagaikan ada disebelah saja. Mungkin ini yang terpelihara dan terjaga...tidak pasti...

KUPREX II-video in the program...



Sekadar santai untuk tontonan semua, hasil kerja saya yang tidak seberapa.

Friday, April 10, 2009

Thursday, April 09, 2009

BECA- Kami Production@Viscom UPSI

Mempersembahkan, ahli kumpulan KAMI PRODUCTION. Saya bangga bersama mereka. Mereka jujur dalam berkawan. Saya doakan yang terbaik untuk mereka. Sepanjang saya berada di Melaka bersama mereka, pelbagai kenangan yang manis dan pahit. Seronok dan sedih pon ada. Akan tetapi, semuanya adalah dugaan dan cabaran buat kami dalam merealisasikan dokumentasi Beca.

Wednesday, April 08, 2009

Titik-titik....tradisional...

Apa yang nampak adalah hasil kerja saya setelah 2 tahun saya meninggalkan bidang yang pernah saya ceburi suatu ketika dulu. Kekok dan keras adalah ungkapan ayat yang mudah untuk menggambarkan hasil kerja ini. Bakal dipamerkan pada 16 April 2009 di Galeri Seni UPSI. Satu pengalaman menarik kerana saya cuba untuk tidak dipengaruhi oleh orang disekeliling ketika menghasilkan batik sarong ini.

Tuesday, April 07, 2009

Tentang Cinta...


Tentang cinta...


Perhati dan memerhati adalah suatu yang insaniah
Renung dan merenungi pula suatu yang abstrak
Sayang menyayangi adalah suatu yang hadir
Hadir dengan sengaja
Sengaja menyayangi
Cinta
Hadir tanpa kata
Tanpa sebarang pengertian
Tentang apa itu cinta yang tiba-tiba hadir
Tiada sebarang tanda yang dapat diungkapkan
Tentang apa itu cinta
Tentang menyintai

norizzat mj
24 NOVEMBER 2007

Putih kepada Atih...?

Seekor kucing yang amat bertuah dalam keluarga saya. Kehadirannya betul-betul mengubah gaya hidup keluarga saya yang dulunya tidak gemarkan kucing. Kucing ini dijumpai adik bongsu saya menyorok di bawah kereta ayahanda kami. Rasanya ketika itu, kucing ini masih kecil dan dianggarkan kucing ini baru beberapa minggu dilahirkan. Putih adalah nama kucing ini. Setelah hampir setahun lebih dijaga dan dibela, namanya telah bertukar kepada Atih. Sekarang, kucing ini menjadi peneman ibunda di rumah. Seronok juga melihat gelagat Atih bermain di dalam rumah. Semoga Atih tidak nakal-nakal di rumah.

Monday, April 06, 2009

Tengok..tonton...



Untuk pengetahuan semua, ini adalah animasi pertama saya dalam percubaan untuk belajar. Agak sukar dan mencabar kerana mungkin pertama kali saya belajar tentang animasi 3D. Saya berharap agar saya akan mencuba lebih baik daripada ini. Percubaan akan membuahkan hasil.

Sunday, April 05, 2009

Sejarah atau kenangan?


Gambar ini saya ambil ketika waktu senja dan saya hanya menggunakkan kamera telefon bimbit saya yang mempunyai 1.3 megapixel sahaja. Tidak berapa cantik kerana gambar agak pecah. Dalam waktu saya mengambil gambar ini, saya lebih gemar mengambil sewaktu saya bersiar-siar di mana sahaja. Jadi, tidak kisah saya berada di mana sahaja, saya akan cuba merakam atau mengambil gambar untuk kenangan saya. Untuk pengetahuan semua juga, 10 tahun akan datang, jalan ini akan menjadi satu jalan yang paling sibuk untuk warga UPSI khususnya. Biarkan gambar ini menjadi sejarah.

Menutup sidang...peralihan kuasa...letak jawatan?

Alhamdulillah. Telah sampai waktunya untuk saya mendokumentasikan semua hasil kerja saya sepanjang saya memegang jawatan exco sidang 2008/09. Sedih dan sayu bila saya terkenang dengan pengalaman sepanjang penglibatan saya di kolej kediaman yang terbesar di UPSI. Saya percaya bahawa kenangan pahit akan menjadi kenangan paling manis buat saya. Nantikan rakaman gambar-gambar saya sepanjang sidang 2008/09. Ragam diri 'identitiy capture'.

diUmpat dan mengumpat...


Rasulullah SAW bersabda
: "Takutlah ghibah(mengumpat). Ia lebih buruk dari zina. Lelaki berzina lalu taubat, Allah menerima taubatnya. Sedangkan Allah tidak mengampuni orang yang ghibah(mengumpat) sebelum orang yang diumpat memaafkannya"

Thursday, April 02, 2009

Kepenatan, tidak mampu....putus asa?


A
ssalamualaikum dan salam sejahtera. Saya rasa bersyukur kerana saya masih mampu berdiri ketika ini dan bernafas pada saat ini. Apa pun, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung blog ini kerana terus memberikan sokongan yang agak baik kepada saya. Barulah saya sedar bahawa ada insan yang menghargai diri ini. Terima kasih sekali lagi. Untuk pengetahuan semua juga, saya memohon maaf kerana setakat ini, saya masih tidak mampu mempamerkan gambar-gambar menarik yang saya percaya ramai yang ternanti-nanti gambar yang menarik dalam blog ini. Sekali lagi seperti tahun sebelumnya, saya sedar yang saya masih belajar dan perlu menumpukan perhatian dalam pelajaran saya. Ketika ini, minggu ke-12, sudah hampir dengan minggu terakhir semester ini. Jadi, saya perlu memberikan tumpuan kepada tugasan-tugasan saya. Akan datang, saya akan pamerkan sesuatu yang berlainan daripada apa yang saya pamerkan di dalam blog ini. Sesuatu yang menjadi antara sejarah hidup saya. Ceria selalu.

Wednesday, April 01, 2009

Nurkilan hati yang bersuara semula...


Hati ini...
buat tuan puteri

Entah tidak terungkap daripada kata-kata,
entah tidak terkata keluar daripada bibir,
mungkin ungkapan tidak memadai,
mungkin kata-kata tidak cukup,
itulah lumrah hidup,
itulah lumrah dunia,
dan bila aku terima kesedihan,
kegembiraan datang menyapa,
dan bila aku resah,
kepastian datang meniup angin,
dan bila aku terpaku,
angin tiup ke dalam hatiku,
memang itu yang aku tunggu selama ini,
memang itu yang aku nantikan selama ini,
segalanya terungkap dengan hanya sekelip mata,
sembuh kegusaran aku selama ini walaupun hanya untuk seketika,
mengubat hati aku yang semakin rapuh,
merawat hati aku yang hampir luruh,
semuanya terungkap dengan kata-kata,
semuanya kerana hati ini...

-norizzat johari-

Sunday, March 29, 2009

Nurkilan hati yang bersuara...


KELUAR


Walaupun hati saya merah

Walaupun hati saya pedih

Walaupun perasaan saya hampa

Walaupun niat saya kabur

Prinsip dan cita-cita teguh

Gagah untuk menghadapi segalanya

Tabah merasai kepahitan

Untuk memberi ruang dan perasaan

Bercampur, bergolak dan

Mungkin hanya permainan dunia

Mungkin hanya sandiwara hidup

Mencari ruang, mencari tempat

Mungkin juga hanya perasaan

Mungkin juga permintaan dunia

Hilang ingatan atau ingatan lupa

Keluar…

-norizzat johari-

Thursday, March 26, 2009

Aku...diriku...atau saya...?


Kadang-kadang, kita tidak dapat mengenali diri kita sendiri. Sedih atau gembira menjadi asam garam dalam kehidupan tetapi takut, takut adalah suatu perasaan yang amat digeruni. Takut kepada Yang Esa, takut akan mati. Tapi apa yang menghantui aku sekarang ialah takut akan difitnah, takut akan kejahatan, takut akan keburukan dan takut dengan bayang-bayang aku sendiri. Aku sedar aku lemah dan kerdil. Aku sedar aku masih lemah dan masih kecil dalam dunia ini. Tetapi mengapa ada orang yang merasakan dia besar? Mengapa masih ada orang yang menganggap dirinya lebih kuat daripada aku? Aku sedar, aku terjaga daripada lamunan mimpi. Aku masih lemah, aku masih kecil.

Monday, March 23, 2009

Hari ini...dan esok....

Hari ini saya telah melakukan sesuatu yang amat bersejarah dalam hidup saya iaitu menghantar borang untuk semester depan. Saya doakan agar niat saya tercapai. Biarkan ia terlakar di dalam blog saya.

Saturday, March 21, 2009

Ayat....?

You can make complex ideas simple to understand -- so step up and be the leader.

'petikan ini diambil daripada horoskop friendster saya untuk hari ini.'

Thursday, March 19, 2009

Masa dan hadapan...


Sedikit kesan khas diberikan untuk gambar ini. Entah apa yang saya fikirkan ketika itu. Mungkin sedikit falsafah hidup bermain dalam fikiran saya. Memandangkan pada waktu itu, saya memikirkan masa depan saya semasa belajar di UPSI sekarang. Banyak perkara perlu diambil berat dan dipandang serius. Bukan sekadar kuliah, tugasan malah tanggungjawab kepada keluarga. Rindu kepada keluarga di rumah menyebabkan saya agak berserabut dengan kehidupan di kampus. Sentiasa memikir ke depan, itulah corak yang bermain dalam fikiran saya.

Wednesday, March 18, 2009

Buat bakal permaisuriku...


andai rindu...tak kemana,
andai sayang...pada keluarga,
andai cinta...pada Ilahi,
andai kau...permaisuri hidupku....

norizzat johari
18 Mac 2009
-2:23-

Tuesday, March 17, 2009

Cetusan atau Contengan...


Mungkin agak keterlaluan dan tidak masuk akal kerana tulisan ini saya jumpai di dalam tandas masjid di mana selalu saya mengerjakan solat Jumaat. Mungkin kerana ingin meluahkan sesuatu terhadap sesuatu perkara dan menconteng dinding adalah satu tindakan tidak bermoral akan tetapi, apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah satu formula yang mungkin diaplikasikan daripada formula dalam sesebuah mata pelajaran sekolah digunakan untuk menghasilkan formula tentang kehidupan harian kita. Renungkanla...


Cetusan/renungan

Tahi = Najis
Dadah = Najis
Rokok = Dadah = Najis = Tahi

Perokok hisap tahi !

Henti lah Merokok !


BECA- Kami Production@Viscom UPSI

Menjadi tajuk Kami Production@Viscom UPSI, Beca. Saya selaku pengarah produksi dan merangkap jurukamera berasa bangga kerana berpeluang bersama rakan-rakan Kami Production merakam dokumentari tentang Beca. Satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan sepanjang kami berada di Melaka. Berharap agar segala pergerakan dalam menghasilkan dokumentari Beca aka berjalan lancar dengan sokongan dan usaha seluruh krew Kami Production.

Kembali semula...

Mungkin sedih dan mungkin gembira. Itulah resam kehidupan manusia, adakala kita di atas dan adakala kita di bawah. Saya dapat rasakan kesedihan yang saya akan alami selama 2 tahun di UPSI, KHAR menjadi medan percaturan saya selama saya bergelar anak kandung suluh budiman. Entah bila lagi saya akan merasai keadaan kesibukan yang boleh menggoyangkan minda dan fikiran. Saya masih ingat ketika saya mula-mula mendaftar di KHAR. Seminggu selepas itu, saya terus melangkahkan kaki saya untuk menjadi AJK Karnival Membaca Sepanjang Hayat. Saya masih ingat sewaktu saya bersama-sama rakan exco berkursus di Hulu Langat. Semua ini menjadi kenangan dan tidak akan saya lupakan.

Semakin hampir ke situ...


H
ampir ke situ...mungkin semua orang tertanya-tanya kenapa saya kata hampir ke situ. Saya dapat rasakan bahawa saya telah hampir dengan penghujung sesebuah amanah atau tanggungjawab. Sebagai salah seorang pemimpin kepada rakan exco penerbitan, saya telah curahkan ilmu saya kepada mereka dan saya rasa setakat itu sahaja ilmu yang dapat saya kongsikan bersama mereka. Mungkin tidak cukup tetapi saya telah belajar dan memberikan ilmu tentang pengurusan dan penghasilan design-design. Sedih dan sayu juga hati ini nak melepaskan apa yang ada tetapi masa inginkan itu semua.

Monday, March 16, 2009

Membisu Kalam Hati...


Kadang kala kesunyian,

Sering kala keperitan,

Terhenti pencarian di ufuk kalam hati yang;

Yang terbenam bagai sepoi-sepoi bahasa,

Ditanya terdiam,

Yang bertanya terbisu,

Persoalan yang terjah bagai rintik-rintik hujan yang terhenti,

Ketika membisu kalam hati,

Ketika terdetik dihati,

Ketika itu jualah tomahan terhenti.

norizzat johari

15 OGOS 2007